Cetak

Laporan Penganjuran Bengkel Pemerkasaan Penerbitan

1. Pengerusi : Dr. Rohaizan bin Baru

2. Jabatan/Fakulti : Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UniSZA

3. Tajuk : Bengkel Pemerkasaan Penerbitan FKI 2010

4. Tarikh : 23hb September 2010

5. Tempat : Bilik Aktiviti, UniSZA Kampus Gong Badak

6. Ringkasan laporan :

Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menganjurkan bengkel selama sehari mengenai pemerkasaan penerbitan. Bengkel berkenaan dianjurkan sebagai satu langkah untuk menggalakkan para pensyarah agar memiliki kemahiran yang tinggi untuk bergiat cergas dalam bidang penulisan dan penerbitan bahan-bahan ilmiah yang bermutu. Pelaksanaan bengkel ini adalah sangat penting supaya latihan yang berterusan dijadikan sebagai amalan dalam merealisasikan impian dan harapan untuk melahirkan ahli akademik yang berkemahiran dan berdaya saing di samping mencapai objektif berikut :

i. Meningkatkan kesedaran peserta tentang kepentingan penerbitan karya ilmiah dalam kehidupan seorang pensyarah

ii. Meningkatkan kefahaman peserta bagaimana proses menghasilkan penerbitan bermutu tinggi khususnya penerbitan dalam jurnal pada peringkat nasional dan antarabangsa

iii. Memberikan pendedahan kepada para pensyarah mengenai konsep penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi, citation index, ISI dan sebagainya

Bengkel Pemerkasaan Penerbitan dimulakan dengan ucapan daripada Pengerusi bengkel iaitu Dr. Rohaizan bin Baru yang melahirkan rasa syukur kerana program tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya seperti yang dirancang. Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan dan perasmian oleh Dekan FKI, YBhg. Prof. Dr. Abdul Hadi bin Zakaria. Dalam ucapan tersebut, beliau mengingatkan para peserta agar memanfaatkan apa sahaja yang diperolehi melalui bengkel yang dilaksanakan. Ini kerana, UniSZA menyediakan peruntukan khas untuk para penulis sama ada penulisan di peringkat antarabangsa mahupun peringkat nasional tanpa mengira usia, sebaliknya menitikberatkan produktiviti penulisan.

Bagi memastikan bengkel pemerkasaan penerbitan mencapai objektifnya, pelaksanaan bengkel telah dibahagikan kepada tiga slot. Slot yang pertama adalah mengenai “Jurnal : jenis-jenis, langkah, tips dan strategi”. Slot kedua pula adalah berkenaan “Pengurusan Penyeliaan Pascasiswazah dan Penerbitan Artikel Jurnal” dan slot ketiga pula dilakukan dalam bentuk kumpulan oleh fasilitator jemputan YBhg. Prof Madya Dr. Mohd Syuhaimi Ab. Rahman dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia yang berlangsung selama satu hari iaitu bermula pada jam 9.00 pagi sehingga 4.30 petang. Fasilitator telah memberi pendedahan kepada para peserta mengenai langkah, tips dan strategi ke atas jurnal-jurnal lain bagi membuat analisis secara kritis dan meningkatkan penulisan dengan lebih efektif. Kemudian, slot kedua pula diteruskan dengan pengisian mengenai pengurusan penyeliaan pascasiswazah di mana melalui penyeliaan yang dilakukan oleh seseorang pensyarah terhadap pelajarnya, peserta diberi pendedahan mengenai hak-hak penyelia dalam membimbing pelajar dan memberi dorongan kepada pelajar seliaannya untuk membuat penerbitan artikel jurnal secara berstruktur dan bersistematik.

Dalam masa yang sama, fasilitator juga mengingatkan para peserta supaya sentiasa bermotivasi dan menjadikan tanggungjawab untuk menulis jurnal adalah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dan sebagai satu budaya. Slot yang ketiga diteruskan dengan sesi latihan dalam kumpulan (LDK) dan pembentangan oleh para peserta. Setiap kumpulan dikehendaki membuat analisis secara kritis ke atas satu jurnal dan mengembangkan hasil analisis tersebut kepada beberapa jurnal yang lain dan diadaptasikan kepada beberapa bidang pengajian mengikut kebolehan peserta di dalam kumpulan berkenaan yang mempunyai kualiti penyelidikan. Penyertaan dan maklumbalas secara aktif daripada setiap peserta bengkel menjadikan bengkel bersifat interaktif dan memberi gambaran bahawa para peserta mendapat input yang amat penting bagi memperkasakan penerbitan mereka. Secara keseluruhannya, bengkel ini dapat mencapai objektifnya dan rata-rata peserta memberikan maklumbalas yang positif dan memberangsangkan. Oleh itu, diharapkan agar siri bengkel pemerkasaan penerbitan ini dapat diteruskan pada masa akan datang ke arah melahirkan penulis artikel yang bermutu dan berimpak tinggi.